24 Ogos, 2010

ROMADHON AL BARAK

Shamsiah dan Qamariah
---------------------
Ramadhan akan kunjung tiba tidak lama lagi. InsyaAllah pada rabu ini kita akan memulakan rutin tahunan kita sebagai muslim iaitu berpuasa pada Ramadhan. Banyak Fadhilat yang disebut rasulullah sepanjang Ramadhan yang boleh kita kecapi jika melaksanakan rukun Islam tersebut dengan sempurna lakonan Zahiriahnya dan bebas dari syirik dan dosa pada Ruhaninya.

Pada kali ini saya begitu tertarik membincangkan Shamsiah dan Qamariah. Dua gelaran ini tidak ada kena mengena dengan nama wanita walaupun kedua-dua kalimah diakhiri dengan "Ta' marbuthoh".

Shamsiah bermaksud Matahari dan gelaran ini diguna pakai oleh orang-orang dahulu bagi menggelar bulan-bulan yang terdapat dalam kalender Masihi. Manakala Qamariah membawa maksud Bulan dan diguna pakai orang-orang dahulu mengungkap bulan-bulan dalam Kalender Hijrah.

Menjadi satu topik perbualan hangat apabila ramai yang mengatakan bahawa Masihi atau Shamsiah ini adalah tahun Kristian atau Nasara dan Muslim tidak boleh menggunakannya dan perlu kembali segera kepada penggunaan Qamariah atau Tahun Hijrah.

Bagi ana pula, ana amat tertarik dengan sepotong ayat al-Quran yang berbunyi;

وَلَبِثُواْ فِى كَهۡفِهِمۡ ثَلَـٰثَ مِاْئَةٍ۬ سِنِينَ وَٱزۡدَادُواْ تِسۡعً۬ا
Mafhumnya;
"Dan mereka telah lelap di dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (Masihi) dan ditambah sembilan (Hijrah)"

Ayat ini menunjukkan secara terang penggunaan tahun Masihi dalam al-Quran dan kenapa kita sebagai Muslim yang mengaku berpegang teguh dengan Kitabullah menolak penggunaannya dan ada yang memfitnah tahun Masihi itu tahun kepunyaan Kristian sedangkan tahun Masihi digunakan nabi-nabi dan ahli kitab terdahulu.

Tahun Masihi atau Shamsiah digunakan bagi urusan dunia kita seperti pertanian, pelayaran dan sebagainya kerana Shamsiah bermaksud matahari, siang atau cerah. Pada waktu sianglah kita bersibuk-sibuk dengan urusan dunia. Pertukaran musim boleh dijadikan satu contoh ketepatan tahun Masihi dalam menentukan kitaran di bumi. Contoh-contoh lain seperti musim padi dan musim buah-buahan.

Tahun Hijrah atau Qamariah pula digunakan lebih kepada urusan-urasan ibadah dan akhirat. Contoh paling tepat apabila puasa sunat hari-hari Abyad (putih) tepat jatuh pada 13, 14 dan 15 haribulan dalam bulan-bulan Hijrah. Permulaan puasa dan raya juga ditentukan dengan menggunakan Bulan-bulan Hijrah. Hampir keseluruhan penggunaan tahun Hijrah lebih simbolik kepada urusan ibadah dan agama.

Kesimpulan dan pengajarannya kita sebagai muslim perlu lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu. Jangan mudah terpedaya dengan propaganda Kuffar.


Solat Sunat Tarawikh.
---------------------
Tarawikh adalah perkataan jamak taksir bagi perkataan tarawuhan yang membawa maksud rehat. Seperti mana sedia maklum, setiap empat rakaat kita dibenarkan rehat maka pada empat rakaat pertama dinamakan tarawuhan manakala bagi lapan rakaat dinamakan tarawuhani dan bagi dua belas rakaat atau lebih baru dinamakan tarawikh. semua kaedah bahasa arab ini sedia maklum bagi mereka-mereka yang belajar bahasa arab walaupun di tahap asas. Bagi sesetengah pihak yang mengatakan tarawikh hanya lapan rakaat, maka jawapan bagi kenyataan mereka ialah, mereka melakukan solat sunat TARA'EIGHT'.

Tarawikh adalah satu susunan solat yang disusun oleh Saidina Umar al-Khattab r.a bagi menghidupkan Ramadhan. Sepertimana hadis Rasulullah mafhumnya;

"kamu diwajibkan dengan sunnahku dan sunnah kulafa' ar-Rasyidin"

Saidina Umar menyusun kaedah solat tarawikh sebanyak 20 rakaat dan sepuluh salam selepas selesai menunaikan solat Fardhu 'Isyak. Solat sunat Tarawikh bagi mazhab rajih seperti Shafie, Hanafi dan Hanbali adalah bilangan rakaatnya sama iaitu 20 rakaat. Manakala bagi Mazhab Ahli Madinah atau mazhab Maliki, bilangan rakaatnya sebanyak 36 rakaat. Mazhab Maliki berbeza pendapat kerana Ahli Makkah melakukan solat sunat Tarawikh di Masjidil Haram dan selepas 4 rakaat mereka akan tawaf kaabah. Maka Ahli Madinah lebih dahulu selesai menunaikan solat sunat Tarawikh. Bagi menyeragamkan masa selesai solat maka Imam Malik menambah jumlah pada rakaat bagi penduduk Madinah kepada 36 rakaat.

Sekarang timbul satu pendapat yang cuba memecah belahkan perpaduan Mazhab Rajih di Malaysia dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Nabi s.a.w hanya melakukan 8 rakaat solat Tarawikh. Ketahuilah si Pengeluar kenyataan itu adalah orang yang ' Bangang hadis' dan lebih jauh jarak masa daripada Imam-Imam Fuqaha' seperti Shafie kepada Nabi s.a.w. Imam Shafie menghafal lebih banyak hadis dan lebih tahu tentang Nabi berbanding Ulama-ulama jahat yang ada kini.

Imam Shafie adalah Fuqaha' (ahli Hukum) dan Muhaddisin manakala Imam Bukhari hanya Muhaddisin. Jadi martabat Imam Shafie lebih tinggi dan lebih utama berbanding Imam Bukhari. Jadi jangan berbalah mengenai hadis sahih atau tidak. Kita di kurun Khalaf atau 500 tahun belakang wajib menjadi murid dan tidak perlu bahas semula apa yang sudah diijmakkan (disepakati) bagi para ulama. al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias perlulah menjadi panduan dan bagi mereka yang 'Bengong Hadis' jangan tunjuk pandai dan berkeinginan mencabar fatwa Imam Shafie. Cuba buktikan kamu mampu menikahi 40 gadis seumpama Imam Shafie dalam pembelajaran beliau bagi menentukan hukum bagi muslimah. Jika tidak mampu itu membuktikan kamu masih belum cukup 'Handsome' nak menandingi Imam Shafie apatah lagi dari segi ilmu yang cetek.

Kesimpulannya kita di zaman Khalaf dan tidak perlu mengisytiharkan kita Salaf. al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias perlulah menjadi panduan kepada kita.


REMAJA DAN MASJID
-----------------

Pada malam jumaat yang lepas ana ada menonton rancangan realiti TV Imam Muda. Tidak dinafikan rancangan tersebut memang menarik dan mampu memberikan variasi baru kepada program-program yang ada di kaca TV darsawarsa kini. Ana bukan lah penggemar kepada rancangan TV sebelum ini namun Imam Muda menarik minat ana apatah lagi Hizburrahman Omar zuhdi merupakan kenalan kampung ana dan berkawan sejak kecil. Ana hanya sempat menonton episod pertama dan terakhir. Bak kata pepatah "jika tiada mula tiada akhirnya".

Ana begitu tertarik dengan soalan mudir kepada dua finalis Imam Muda. Bagaimanakah bakal Imam Muda Terunggul akan lakukan bagi mendekatkan golongan remaja ke masjid. Maka kedua-dua Imam Muda memberikan jawapan berdasarkan pengalaman masing-masing.

Jika soalan itu ditujukan kepada ana yang cetek ilmu agamanya dibandingkan kedua-dua finalis yang masuk bertanding. Ana hanya mampu meniru kata-kata guru ana sahaja tanpa mampu menjana pemikiran sendiri yang bernas. Ana akan menjawab; " Hidayah itu milik Allah dan hatta Rasulullah tidak mampu mengislamkan bapa saudara kesayangannya".

Allah s.w.t. berfirman mafhumnya;

"Wahai orang-orang beriman, jika kamu menolong Allah pasti Allah menolong kamu dan menetapkan iman kamu"

Ramai pendakwah kini menafsirkan ayat tersebut sewenang-wenangnya tanpa kembali kepada kehendak asal ayat tersebut. Ada yang mengatakan Allah meminta kita sebagai orang-orang beriman menyebarkan agamaNya manakala ayat lain pula Allah menyatakan Hidayah dan petunjuk itu milik mutlakNya. Ada juga yang mengatakan bahawa kita perlu menolong Allah dalam menyabut seruan jihad di lain kejadian Allah memberi kemenangan kepada Mahmud Ghazni seorang diri dalam menawan India tanpa bantuan sesiapa.

Ketahuilah Allah itu Maha mengetahui tetapi ada satu benda yang tidak Allah ketahui. Apabila kenyataan Nasara mengatakan Allah ada Isteri dan Anak. Apabila Yahudi mengatakan Uzair itu Anak Allah. Ilmu Allah meliputi segalanya tetapi Allah tidak mengetahui bahawa Dia ada sekutu bagiNya kerana Allah berdiri dengan sendiri dan Terkaya Allah dari setiap sesuatu.

Pertolongan yang Allah seru itu bermaksud TANZIH (bersih) dari syirik dan dosa. Pada hari ke 120 kita berada di alam Mulki datang Malaikat meniupkan Ruh. Maka ketika itu Allah menentukan rezeki kepada kita namun kita menentukan halal dan haram. Allah menentukan ajal kita namun kita menentukan Husnul Khatimah atau sebaliknya. Allah menentukan kesudahan kita namun kita yang memilih syurga atau neraka. Allah memberi kudrat melakukan sesuatu kepada kita namun kita memilih sendiri melakukan amalan soleh atau kufur.

Pada satu ketika kita mengetahui bahawa Mekah merupakan padang pasir tandus kering kontang tanpa kehidupan. Selepas Nabi Allah Ibrahim mewakafkan tanah Haram Mekah dengan hati yang tulus tanpa ada sebesar zarah syirik kepada Allah maka ketika itu Allah membuka, memaling, menghadap hati-hati manusia berkunjung ke sana bagi melakukan haji.

Contoh terdekat bagi ana apabila mengimbau sejarah tertubuhnya Pondok Lanai kedah. Pada satu ketika dulu orang mempertikaikan Tuan Guru Haji Omar Zuhdi apabila beliau membuka pondok di kawasan 'Jin Bertendang' atau hutan belukar. Kata mereka tidak akan ada orang yang akan menuntut ilmu di situ kerana tidak strategik. Namun kehendak Allah sebaliknya apabila tujuan dan niat membuka pondok tersebut bersih dari syirik dan dosa. Pondok Lanai melahirkan ribuan murid rata-rata alim dalam bidang pengajian masing-masing dan pondok tersebut masih berdiri kukuh sehingga sekarang atas berkat Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Soleh, ayahanda kepada Finalis Imam Muda. Harapnya saudara Hizbur akan menuruti jejak ayahandanya. Amin.

Kesimpulan bagi menarik minat remaja ke masjid atau menghapuskan zionis dari muka bumi bukanlah sukar. Bangkitlah para pejuang agama hapuslah zionis (Syirik dan Dosa) dalam diri jangan tinggal sebesar zarah. Dari situ datanglah segera pertolongan Allah.

Tiada ulasan: