25 Ogos, 2009

"ILMU LADUNI"

Ketahuilah bahawa "ILMU LADUNI" itu adalah penyerapan Nur Ilham yang terjadi selepas penyempurnaan (JIWA) sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Demi satu jiwa serta Yang Menyempurnakannya" (Surah Al-Syams:7). Perkembalian (kepada asal) ini adalah dengan tiga cara: 1. Mempelajari semua ilmu dan mengambil sebahagian yang lebih besar dari kebanyakannya. (Penjelasannya: ialah dengan mempelajari dasar-dasar semua ilmu, kemudian kebanyakan dari ilmu-ilmu ini hendaklah diketahui pula sebahagian yang lebih besar dari kandungan. Katakanlah lebih daripada 50%). 2. Latihan yang benar dan Murraqobah yang betul, kerana Nabi SAW. pernah menunjukkan kepada hakikat ini dengan sabdanya yang bermaksud: "Siapa yang beramal dengan apa yang telah diketahuinya, Allah akan mempusakakan Ilmu mengenai apa yang belum diketahuinya".

Bersabda lagi Nabi SAW. yang bermaksud: "Siapa yang menyerahkan dirinya untuk Allah (beramal) selama 40 pagi, Allah Taala melahirkan mutiara-mutiara hikmah dari Qalbu ke atas lidahnya". 3. Berfikir; bahawa jiwa itu bila beramal (menerusi ilmu-ilmu yang dipelajari) dan berlatih (beramal) dengan (keadah) ilmu kemudian berfikir mengenai maklumat menurut syarat-syarat berfikir, akan dibuka kepadanya pintu ghaib seperti seorang ahli perniagaan yang menyelenggarakan hartanya dengan syarat-syarat(yang ditentukan untuk) penyelenggaraan, akan dibuka kepadanya pintu-pintu keuntungan. Bila ia melalui jalan yang salah ia akan jatuh di dalam kerugian. Begitu juga seorang pemikir itu, bila ia menempuh jalan yang betul ia akan menjadi seorang yang bijaksana dan terbuka saluran dari Alam Ghaib dalam Qalbunya; lalu ia menjadi seorang Alim yang sempurna, beraqal, berilham lagi mendapat pertolongan (dari Allah) sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud: "Berfikir sesaat itu lebih baik daripada beribadat selama 60 tahun".
Gerak Global

15 Ogos, 2009

SYAIR IMAM AS-SYAFIE [IMAM MAZHAB]

TIPUAN PALSU
Aku melihat tipu muslihat dunia,
tatkala ia bertenggerdi atas kepala-kepala manusia,
dan membincangkan manusia-manusia yang terkena
tipunya.
Bagi mereka,
Orang sepertiku tampak amat tak berharga.
Aku disamakan olehnya,
dengan anak kecil yang sedang bermain di jalanan.

MENCINTAI AKHIRAT
Duhai orang yang senang memeluk dunia fana,
Yang tak kenal pagi dan sore dalam mencari dunia,
Hendaklah engkau tinggalkan pelukan mesramu,
kepada duniamu itu.
Karena kelak engkau akan berpelukan,
Dengan bidadari di surga.
Apabila engkau harap menjadi penghuni surga abadi,
maka hindarilah jalan menuju api neraka.

RENDAH HATI
Bagaimana mungkin kita dapat sampai ke Sa’ad,
Sementara di sekitarnya terdapat gunung-gunung
dan tebing-tebing.Padahal aku tak beralas kaki,
dan tak berkendaraan.
Tanganku pun kosong dan,
jalan ke sana amat mengerikan.

TENTANG CINTA
Engkau durhaka kepada Allah,
dan sekaligus menaruh cinta kepada-Nya.
Ini adalah suatu kemustahilan.
Apabila benar engkau mencintai-Nya,
pastilah engkau taati semua perintah-Nya.
Sesungguhnya orang menaruh cinta,
Tentulah bersedia mentaati perintah orang yang dicintainya.
Dia telah kirimkan nikmat-Nya kepadamu,
setiap saat dan tak ada rasa syukur,
yang engkau panjatkan kepada-Nya.

KEPUASAN (QANA'AH)
Aku melihat bahwa kepuasan itu pangkal kekayaan,
lalu kupegang erat-erat ujungnya.
Aku ingin menjadi orang kaya tanpa harta,
dan memerintah bak seorang raja.

ANUGRAH ALLAH
Aku melihat-Mu pada saat penciptaanku,
yang penuh dengan anugerah.
Engkaulah sumber satu-satunya,
pada saat penciptaanku.
Hidarkan aku dari anugerah yang buruk.
Karena sepotong kehidupan telah cukup bagiku,
hingga saat Engkau mematikanku.

ROBBIATUL ADAWIYAH [WALI ALLAH]

Ibubapa Rabia'atul-Adawiyyah adalah orang miskin. Hinggakan dalam rumah mereka tidak ada minyak untuk memasang lampu dan tidak ada kain untuk membalut badan beliau. Beliau ialah anak yang keempat. Ibunya menyuruh ayahnya meminjam minyak dari jiran. tetapi bapa beliau telah membuat keputusan tidak akan meminta kepada sesiapa kecuali kepada Allah. Bapa itu pun pergilah berpura-pura ke rumah jiran dan perlahan-lahan mengetuk pintu rumah itu agar tidak didengar oleh orang dalam rumah itu. Kemudian dia pun pulang dengan tangan kosong. Katanya orang dalam rumah itu tidak mahu membuka pintu.

Pada malam itu si bapa bermimpi yang ia bertemu dengan Nabi. Nabi berkata kepadanya,

"Anak perempuanmu yang baru lahir itu adalah seorang yang dikasihi Allah dan akan memimpin banyak orang Islam ke jalan yang benar. Kamu hendaklah pergi berjumpa Amir Basrah dan beri dia sepucuk surat yang bertulis - kamu hendaklah berselawat kepada Nabi seratus kali tiap-tiap malam dan empat ratus kali tiap-tiap malam Jumaat. Tetapi oleh kerana kamu tidak mematuhi peraturan pada hari Khamis sudah, maka sebagai dendanya kamu hendaklah membayar kepada pembawa surat ini empat ratus dinar."

Bapa Rabi'atul-Adawiyyah pun terus terjaga dari tidur dan pergi berjumpa dengan Amir tersebut, dengan air mata kesukaan mengalir di pipinya. Amir sungguh berasa gembira membaca surat itu dan faham bahawa beliau ada dalam perhatian Nabi. Amir pun memberi sedekah kepada fakir miskin sebanyak seribu dinar dan dengan gembira memberi bapa Rabi'atul-Adawiyyah sebanyak empat ratus dinar. Amir itu meminta supaya bapa Rabi'atul-adawiyyah selalu mengunjungi beliau apabila hendakkan sesuatu kerana beliau sungguh berasa bertuah dengan kedatangan orang yang hampir dengan Allah.

Selepas bapanya meninggal dunia, Basrah dilanda oleh kebuluran. Rabi'atul-adawiyyah berpisah dari adik-beradiknya. Suatu ketika kafilah yang beliau tumpangi itu telah diserang oleh penyamun. Ketua penyamun itu menangkap Rabi'atul-Adawiyyah untuk dijadikan barang rampasan untuk dijual ke pasar sebagai abdi. Maka lepaslah ia ke tangan tuan yang baru.

Suatu hari, tatkala beliau pergi ke satu tempat atas suruhan tuannya, beliau telah dikejar oleh orang jahat. Beliau lari. Tetapi malang, kakinya tergelincir dan jatuh. Tangannya patah. Beliau berdoa kepada Allah,

"Ya Allah! Aku ini orang yatim dan abdi. Sekarang tanganku pula patah. tetapi aku tidak peduli segala itu asalkan Kau redho denganku. tetapi nyatakanlah keridhoanMu itu padaku."

Tatkala itu terdengarlah suatu suara,

"Tak mengapa semua penderitaanmu itu. Di hari akhirat kelak kamu akan ditempatkan di peringkat yang tinggi hinggakan Malaikat pun kehairanan melihatmu."

Kemudian pergilah ia semula kepada tuannya. Selepas peristiwa itu, tiap-tiap malam ia menghabiskan masa dengan beribadat kepada Allah, selepas melakukan kerja-kerjanya. Beliau berpuasa berhari-hari.

Suatu hari, tuannya terdengar suara rayuan Rabi'atul-Adawiyyah di tengah malam yang berdoa kepada Allah;

"Tuhanku! Engkau lebih tahu bagaimana aku cenderung benar hendak melakukan perintah-perintahMu dan menghambakan diriku dengan sepenuh jiwa, wahai cahaya mataku. Jikalau aku bebas, aku habiskan seluruh masa malam dan siang dengan melakukan ibadat kepadaMu. tetapi apa yang boleh aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia."

Dilihat oleh tuannya itu suatu pelita yang bercahaya terang tergantung di awang-awangan, dalam bilik Rabi'atul-Adawiyyah itu, dan cahaya itu meliputi seluruh biliknya. Sebentar itu juga tuannya berasa adalah berdosa jika tidak membebaskan orang yang begitu hampir dengan Tuhannya. sebaliknya tuan itu pula ingin menjadi khadam kepada Rabi'atul-adawiyyah.

Esoknya, Rabi'atul-Adawiyyah pun dipanggil oleh tuannya dan diberitahunya tentang keputusannya hendak menjadi khadam itu dan Rabi'atul-adawiyyah bolehlah menjadi tuan rumah atau pun jika ia tidak sudi bolehlah ia meninggalkan rumah itu. Rabi'atul-Adawiyyah berkata bahawa ia ingin mengasingkan dirinya dan meninggalkan rumah itu. Tuannya bersetuju. Rabi'atul-Adawiyyah pun pergi.

Suatu masa Rabi'atul-Adawiyyah pergi naik haji ke Mekkah. Dibawanya barang-barangnya atas seekor keldai yang telah tua. Keldai itu mati di tengah jalan. Rakan-rakannya bersetuju hendak membawa barang -barangnya itu tetapi beliau enggan kerana katanya dia naik haji bukan di bawah perlindungan sesiapa. Hanya perlindungan Allah S.W.T. Beliau pun tinggal seorang diri di situ. Rabi'atul-Adawiyyah terus berdoa,

"Oh Tuhan sekalian alam, aku ini keseorangan, lemah dan tidak berdaya. Engkau juga yang menyuruhku pergi mengunjungi Ka'abah dan sekarang Engkau matikan keldaiku dan membiarkan aku keseorangan di tengah jalan."

Serta-merta dengan tidak disangka-sangka keldai itu pun hidup semula. Diletaknya barang-barangnya di atas keldai itu dan terus menuju Mekkah. Apabila hampir ke Ka'abah, beliau pun duduk dan berdoa,

"Aku ini hanya sekepal tanah dan Ka'abah itu rumah yang kuat. Maksudku ialah Engkau temui aku sebarang perantaraan."

Terdengar suara berkata, "Rabi'atul-Adawiyyah, patutkah Aku tunggangbalikkan dunia ini kerana mu agar darah semua makhluk ini direkodkan dalam namamu dalam suratan takdir? Tidakkah kamu tahu Nabi Musa pun ada hendak melihatKu? Aku sinarkan cahayaKu sedikit sahaja dan dia jatuh pengsan dan Gunung Sinai runtuh menjadi tanah hitam."

Suatu ketika yang lain, semasa Rabi'atul-Adawiyyah menuju Ka'abah dan sedang melalui hutan, dilihatnya Ka'abah datang mempelawanya. Melihatkan itu, beliau berkata,

"Apa hendakku buat dengan Ka'abah ini; aku hendak bertemu dengan tuan Ka'abah (Allah) itu sendiri. Bukankah Allah juga berfirman iaitu orang yang selangkah menuju Dia, maka Dia akan menuju orang itu dengan tujuh langkah? Aku tidak mahu hanya melihat Ka'abah, aku mahu Allah."

Pada masa itu juga, Ibrahim Adham sedang dalam perjalanan ke Ka'abah. Sudah menjadi amalan beliau mengerjakan sembahyang pada setiap langkah dalam perjalanan itu. Maka oleh itu, beliau mengambil masa empat belas tahun baru sampai ke Ka'bah. Apabila sampai didapatinya Ka'abah tidak ada. Beliau sangat merasa hampa. Terdengar olehnya satu suara yang berkata,

"Ka'abah itu telah pergi melawat Rabi'atul -Adawiyyah."

Apabila Ka'bah itu telah kembali ke tempatnya dan Rabi'atul-Adawiyyah sedang menongkat badannya yang tua itu kepada kepada tongkatnya, maka Ibrahim Adham pun pergi bertemu dengan Rabi'atul-Adawiyyah dan berkata;

"Rabi'atul-adawiyyah, kenapa kamu dengan perbuatanmu yang yang ganjil itu membuat haru-biru di dunia ini?"

Rabi'atul-Adawiyyah menjawab;

"Saya tidak membuat satu apa pun sedemikian itu, tetapi kamu dengan sikap ria (untul mendapat publisiti) pergi ke Ka'abah mengambil masa empat belas tahun."

Ibrahim mengaku yang ia sembahyang setiap langkah dalam perjalanannya. Rabi'atul-Adawiyyah berkata,

"Kamu isi perjalananmu itu dengan sembahyang, tetapi aku mengisinya dengan perasaan tawaduk dan khusyuk."

Tahun kemudiannya, lagi sekali Rabi'atul-Adawiyyah pergi ke Ka'abah. Beliau berdoa;

"Oh Tuhan! Perlihatkanlah diriMu padaku."

Beliau pun berguling-guling di atas tanah dalam perjalanan itu. Terdengar suara;

"Rabi'atul-Adawiyyah, hati-hatilah, jika Aku perlihatkan diriKu kepadamu, kamu akan jadi abu."

Rabi'atul-Adawiyyah menjawab,

"Aku tidak berdaya memandang Keagungan dan KebesaranMu, kurniakanlah kepadaku kefakiran (zahid) yang mulia di sisiMu."

Terdengar lagi suara berkata, "Kamu tidak sesuai dengan itu. Kemuliaan seperti itu dikhaskan untuk lelaki yang memfanakan diri mereka semasa hidup mereka kerana Aku dan antara mereka dan Aku tidak ada regang walau sebesar rambut pun, Aku bawa orang-orang demikian sangat hampir kepadaKu dan kemudian Aku jauhkan mereka, apabila mereka berusaha untuk mencapai Aku. Rabi'atul-adawiyyah, antara kamu dan Aku ada lagi tujuh puluh hijab atau tirai. Hijab ini mestilah dibuang dulu dan kemudian dengan hati yang suci berhadaplah kepadaKu. Sia-sia sahaja kamu meminta pangkat fakir dari Aku."

Kemudian suara itu menyuruh Rabi'atul-Adawiyyah melihat ke hadapan. Dilihatnya semua pandangan telah berubah. Dilihatnya perkara yang luar biasa. Di awang-awangan ternampak lautan darah yang berombak kencang. Terdengar suara lagi,

"Rabi'atul-Adawiyyah, inilah darah yang mengalir dari mata mereka yang mencintai Kami (Tuhan) dan tidak mahu berpisah dengan Kami. Meskipun mereka dicuba dan diduga, namun mereka tidak berganjak seinci pun dari jalan Kami dan tidak pula meminta sesuatu dari Kami. Dalam langkah permulaan dalam perjalanan itu, mereka mengatasi semua nafsu dan cita-cita yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Mereka beruzlah (memencilkan diri) dari dunia hingga tidak ada sesiapa yang mengetahui mereka. Begitulah mereka itu tidak mahu publisiti (disebarkan kepada umum) dalam dunia ini."

Mendengar itu, Rabi'atul-Adawiyyah berkata, "Tuhanku! Biarkan aku tinggal di Ka'abah." Ini pun tidak diberi kepada beliau. Beliau dibenarkan kembali ke Basrah dan menghabiskan umurnya di situ dengan sembahyang dan memencilkan diri dari orang ramai.

Suatu hari Rabi'atul-Adawiyyah sedang duduk di rumahnya menunggu ketibaan seorang darwisy untuk makan bersamanya dengan maksud untuk melayan darwisy itu, Rabi'atul-Adawiyyah meletakkan dua buku roti yang dibuatnya itu di hadapan darwisy itu. Darwisy itu terkejut kerana tidak ada lagi makanan untuk Rabi'atul-Adawiyyah. Tidak lama kemudian, dilihatnya seorang perempuan membawa sehidang roti dan memberinya kepada Rabi'atul-Adawiyyah menyatakan tuannya menyuruh dia membawa roti itu kepada Rabi'atul-Adawiyyah. Rabi'atul-Adawiyyah bertanya berapa ketul roti yang dibawanya itu. Perempuan itu menjawab, "Lapan belas." Rabi'atul-Adawiyyah tidak mahu menerima roti itu dan disuruhnya kembalikan kepada tuannya. Perempuan itu pergi.

Kemudian datang semula. Rabi'atul-Adawiyyah menerima roti itu selepas diberitahu bahawa ada dua puluh ketul roti dibawa perempuan itu. Darwisy itu bertanya kenapa Rabi'atul-Adawiyyah enggan menerima dan kemudian menerima pula. Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Allah berfirman dalam Al-Quran iaitu : "Orang yang memberi dengan nama Allah maka Dia akan beri ganjaran sepuluh kali ganda. Oleh itu, saya terima hadiah apabila suruhan dalam Al-Quran itu dilaksanakan."

Suatu hari Rabi'atul-Adawiyyah sedang menyediakan makanan. Beliau teringat yang beliau tidak ada sayur. Tiba-tiba jatuh bawang dari bumbung. Disepaknya bawang itu sambil berkata, "Syaitan! Pergi jahanam dengan tipu-helahmu. Adakah Allah mempunyai kedai bawang?" Rabi'atul-Adawiyyah berkata, "Aku tidak pernah meminta dari sesiapa kecuali dari Allah dan aku tidak terima sesuatu melainkan dari Allah."

Suatu hari, Hassan Al-Basri melihat Rabi'atul-Adawiyyah dikelilingi oleh binatang liar yang memandangnya dengan kasih sayang. Bila Hassan Al-Basri pergi menujunya, binatang itu lari. Hassan bertanya, "Kenapa binatang itu lari?" Sebagai jawapan, Rabi'atul-adawiyyah bertanya, "Apa kamu makan hari ini?" Hassan menjawab, "Daging." Rabi'atul- Adawiyyah berkata, Oleh kerana kamu makan daging, mereka pun lari, aku hanya memakan roti kering."

Suatu hari Rabi'atul-Adawiyyah pergi berjumpa Hassan Al-Basri. Beliau sedang menangis terisak-isak kerana bercerai (lupa) kepada Allah. Oleh kerana hebatnya tangisan beliau itu, hingga air matanya mengalir dilongkang rumahnya. Melihatkan itu, Rabi'atul-Adawiyyah berkata, "Janganlah tunjukkan perasaan sedemikian ini supaya batinmu penuh dengan cinta Allah dan hatimu tenggelam dalamnya dan kamu tidak akan mendapati di mana tempatnya."

Dengan penuh kehendak untuk mendapat publisiti, suatu hari, Hassan yang sedang melihat Rabi'atul-Adawiyyah dalam satu perhimpunan Aulia' Allah, terus pergi bertemu dengan Rabi'atul-Adawiyyah dan berkata, "Rabi'atul-adawiyyah, marilah kita meninggalkan perhimpunan ini dan marilah kita duduk di atas air tasik sana dan berbincang hal-hal keruhanian di sana."

Beliau berkata dengan niat hendak menunjukkan keramatnya kepada orang lain yang ia dapat menguasai air (seperti Nabi Isa a.s. boleh berjalan di atas air). Rabi'atul-Adawiyyah berkata, "Hassan, buangkanlah perkara yang sia-sia itu. Jika kamu hendak benar memisahkan diri dari perhimpunan Aulia' Allah, maka kenapa kita tidak terbang sahaja dan berbincang di udara?" Rabi'atul-adawiyyah berkata bergini kerana beliau ada kuasa berbuat demikian tetapi Hassan tidak ada berkuasa seperti itu. Hassan meminta maaf. Rabi'atul-Adawiyyah berkata, "Ketahuilah bahawa apa yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan jika aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara yang luarbiasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan-santun terhadap Allah."

Seorang hamba Allah bertanya kepada Rabi'atul-Adawiyyah tentang perkara kahwin. Beliau menjawab, "Orang yang berkahwin itu ialah orang yang ada dirinya. Tetapi aku bukan menguasai badan dan nyawaku sendiri. Aku ini kepunyaan Tuhanku. Pintalah kepada Allah jika mahu mengahwini aku."

Hassan Al-Basri bertanya kepada Rabi'atul-Adawiyyah bagaiman beliau mencapai taraf keruhanian yang tinggi itu. Rabi'atul-adawiyyah menjawab, "Aku hilang (fana) dalam mengenang Allah."

Beliau ditanya, "Dari mana kamu datang?"

Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Aku datang dari Allah dan kembali kepada Allah."

Rabi'atul-Adawiyyah pernah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. Dan baginda bertanya kepadanya sama ada beliau pernah mengingatnya sebagai sahabat. Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Siapa yang tidak kenal kepada tuan? Tetapi apakan dayaku. Cinta kepada Allah telah memenuhi seluruhku, hinggakan tidak ada ruang untuk cinta kepadamu atau benci kepada syaitan."

Orang bertanya kepada Rabi'atul-adawiyyah, "Adakah kamu lihat Tuhan yang kamu sembah itu?

Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Jika aku tidak lihat Dia, aku tidak akan menyembahNya."

Rabi'atul-Adawiyyah sentiasa menangis kerana Allah. Orang bertanya kepadanya sebab beliau menangis. Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Aku takit berpisah walau sedetik pun dengan Tuhan dan tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafas terakhir - jauhkan dia dariKu kerana dia tidak layak berada di majlisKu."

Allah suka dengan hambaNya yang bersyukur apabila ia berusaha sepertimana ia bersyukur tatkala menerima kurniaNya (iaitu ia menyedari yang ia tidak sanggup berusaha untuk Allah tanpa pertolongan dan kurniaan Allah).

Seorang bertanya kepada Rabi'atul-Adawiyyah, "Adakah Allah menerima taubat orang yang membuat dosa?"

Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Itu hanya apabila Allah Mengurniakan kuasaNya kepada pembuat dosa itu yang ia digesa untuk mengakui dosanya dan ingin bertaubat. Hanya dengan itu Allah akan menerima taubatnya kerana dosa yang telah dilakukannya."

Sholeh Al-Qazwini selalu mengajar muridnya, "Siapa yang selalu mengetuk pintu rumah seseorang akhirnya satu hari pintu itu pasti akan dibuka untuknya." Satu hari Rabi'atul-Adawiyyah mendengar beliau bercakap demikian. Rabi'atul-adawiyyah pun berkata kepada Sholeh, "Berapa lama kamu hendak berkata demikian menggunakan perkataan untuk masa depan (Futuretense) iaitu "Akan dibuka"? Adakah pintu itu pernah ditutup? Pintu itu sentiasa terbuka." Sholeh mengakui kebenarannya itu.

Seorang hamba Allah berteriak, "Aduh sakitnya!" Rabi'atul-Adawiyyah bertemu dengan orang itu dan berkata, "Oh! bukannya sakit." Orang itu bertanya kenapa beliau berkata begitu. Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Kerana sakit itu adalah satu nikmat bagi orang yang sangat mulia di sisi Allah. Mereka merasa seronok menanggung sakit itu."

Suatu hari rabi'atul-adawiyyah sedang melihat orang sedang berjalan dengan kepalanya berbalut. Beliau bertanya kenapa kepalanya dibalut. Orang itu menjawab mengatakan ia sakit kepala. Rabi'atul-Adawiyyah bertanya, "Berapa umurmu?" Jawab orang itu, "Tiga puluh." Rabi'atul-Adawiyyah bertanya lagi, "Hingga hari ini begaimana keadaanmu?" Kata orang itu, "Sihat-sihat sahaja." Rabi'atul-Adawiyyah pula berkata, "Selama tiga puluh tahun Allah menyihatkan kamu, tetapi kamu tidak mengibarkan bendera pada badanmu untuk menunjukkan kesyukuran kepada Allah, dan agar manusia bertanya kenapa kamu gembira sekali dan setelah mengetahui kurniaan Tuhan kepadamu, mereka akan memuji Allah. Sebaliknya kamu, setelah mendapat sakit sedikit, membalut kepalamu dan pergi ke sana ke mari menunjukkan sakitmu dan kekasaran Tuhan terhadapmu. Kenapa kamu berlaku sehina itu!"

Suatu hari khadamnya berkata, "Puan, keluarlah dan mari kita melihat keindahan kejadian Tuhan di musim bunga ini.' Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Duduklah dalam rumah seperti aku berseorangan dan melihat yang menjadikan. Aku lihat Dia dan bukan kejadianNya."

Suatu hari, orang bertanya kepada Rabi'atul-Adawiyyah kenapa beliau tidak menyimpan pisau dalam rumahnya. Beliau menjawab, "Memotong itu adalah kerja pisau. Aku takut pisau itu akan memotong pertalian aku dengan Allah yang ku cintai."

Suatu masa Rabi'atul-Adawiyyah berpuasa selama lapan hari. Pada hari terakhir, beliau merasa lapar sedikit. Datang seorang hamba Allah membawa minuman yang manis dalam sebuah cawan. Rabi'atul-Adawiyyah ambil minuman itu dan meletakkannya di atas lantai di satu penjuru rumahnya itu. Beliau pun pergi hendak memasang lampu. Datang seekor kucing lalu menumpahkan minuman dalam cawan itu. Melihat itu, terfikirlah Rabi'atul-Adawiyyah hendak minum air sahaja malam itu.
Tatkala ia hendak mencari bekas air (tempayan), lampu pun padam. Bekas air itu jatuh dan pecah airnya bertaburan di atas lantai. Rabi'atul-adawiyyah pun mengeluh sambil berkata, "Tuhanku! Kenapa Kau lakukan begini kepadaku?"

Terdengar suara berkata, "Rabi'atul-Adawiyyah, jika kamu hendakkan kurnia dunia, Aku boleh berikan padamu, tetapi akan menarik balik darimu siksaan dan kesakitan yang Aku beri padamu. Kurnia dunia dan siksaan Aku tidak boleh duduk bersama-sama dalam satu hati. Rabi'atul-Adawiyyah, kamu hendak satu satu perkara dan Aku hendak satu perkara lain. Dua kehendak yang berlainan tidak boleh duduk bersama dalam satu hati."

Dengan serta-merta beliau pun membuangkan kehendak kepada keperluan hidup ini, seperti orang yang telah tidak berkehendakkan lagi perkara-perkara dunia ini semasa nyawa hendak bercerai dengan badan. Tiap-tiap pagi beliau berdoa, "Tuhan! Penuhilah masaku dengan menyembah dan mengingatMu agar orang lain tidak mengajakku dengan kerja-kerja lain."

Rabi'atul-Adawiyyah ditanya, "Kenapa kamu sentiasa menangis-nangis?"

Beliau menjawab, "Kerana ubat penyakit ini ialah berdampingan dengan Tuhan."

"Kenapa kamu memakai pakainan koyak dan kotor?" Beliau ditanya lagi, "Kamu ada kawan yang kaya, dan dia boleh memberimu pakaian baru." Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Aku berasa malu meminta perkara dunia dari sesiapa pun yang bukan milik mereka kerana perkara-perkara itu adalah amanah Allah kepada mereka dan Allah jua yang memiliki segala- galanya."

Orang berkata, "Rabi'atul-Adawiyyah, Tuhan mengurniakan ilmu dan kenabian kepada lelaki, dan tidak pernah kepada perempuan, tentu kamu tidak dapat mencapai pangkat kewalian yang tinggi itu (kerana perempuan). Oleh itu apakah faedahnya usaha kamu menuju ke taraf tersebut?"

Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Apa yang kamu kata itu benar, tetapi cubalah ketakan kepadaku siapakah perempuannya yang telah mencapai taraf kehampiran dengan Allah dan lalu berkata, "Akulah Yang Hak". Di samping itu tidak ada orang "kasi" yang perempuan. Hanya didapati dalam kaum lelaki sahaja."

Rabi'atul-Adawiyyah berkata, "Seorang perempuan yang sentiasa bersembahyang kerana Allah adalah lelaki dan bukan perempuan."

Satu hari Rabi'atul-Adawiyyah jatuh sakit. Orang bertanya kepadanya sebab ia sakit. Beliau berkata, "Hatiku cenderung hendak mencapai Syurga, satu hari yang lampau. Kerana itu, Allah jatuhkan sakit ini sementara sebagai hukuman."

Hassan Al-Basri datang berjumpa Rabi'atul-Adawiyyah yang sedang sakit. Di pintu rumah beliau itu, Hassan bertemu dengan Amir Al-Basri yang sedang duduk dengan sebuah beg mengandungi wang. Amir itu menangis. Apabila ditanya kenapa beliau menangis, beliau menjawab, "Aku hendak menghadiahkan wang kepada Rabi'atul-Adawiyyah, tetapi aku tahu dia tidak akan menerimanya. Kerana itulah aku menangis. Bolehkah kamu menjadi pengantara dan meminta dia menerima hadiahku ini?" Hassan pun pergilah membawa wang itu kepada Rabi'atul-Adawiyyah dan meminta beliau menerima wang itu. Tetapi Rabi'atul-Adawiyyah berkata,

"Oleh kerana aku telah kenal Allah, maka aku tidak lagi mahu bersembang dengan manusia dan tidak menerima hadiah dari mereka dan juga tidak mahu memberi apa-apa kepada mereka. Di samping itu aku tidak mahu sama ada wang itu didapatinya secara halal atau haram."

Sufyan Al-Thauri berkata, "Kenapa kamu tidak memohon kepada Allah untuk menyembuhkan kamu?" Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "Kenapa aku merungut pula kerana itu hadiah Allah bagiku. Bukankah salah jika tidak mahu menerima hadiah Tuhan? Adakah bersahabat namanya jika kehendak sahabat itu tidak kita turuti?"

Malik bin Dinar pergi mengunjungi Rabi'atul-adawiyyah satu hari. Dilihatnya dalam rumah Rabi'atul-Adawiyyah satu balang yang pecah dan mengandungi air untuk minum dan mengambil wuduk, satu bata sebagai bantal dan tikar yang buruk sebagai alas tempat tidur. Malik berkata, "Jika kamu izinkan, boleh aku suruh seorang kawanku yang kaya memberimu semua keperluan harian." Rabi'atul-Adawiyyah menjawab;

"Adakah satu Tuhan yang menanggung aku, dan Tuhan lain pula menanggung kawanmu itu? Jika tidak, adakah Tuhan lupa kepadaku kerana aku miskin dan ingat kepada kawanmu itu kerana ia kaya? Sebenarnya Allah itu tidak lupa kepada siapa pun. Kita tidak perlu memberi ingat kepada Tuhan itu. Dia lebih mengetahui apa yang baik untuk kita. Dia yang memberi kurnia dan Dia juga yang menahan kurnia itu."

Rabi'atul-Adawiyyah berkata, "Orang yang cinta kepada Allah itu hilang dalam melihat Allah hingga kesedaran kepada yang lain lenyap darinya dan Dia tidak boleh membezakan mana sakit dan mana senang."

Seorang Wali Allah datang dan merungut tentang dunia. Rabi'atul-Adawiyyah berkata, "Nampaknya kamu sangat cinta kepada dunia, kerana orang yang bercakap tentang sesuatu perkara itu tentulah dia cenderung kepada perkara tersebut."

Satu hari, Sufyan Al-Thauri pergi berjumpa Rabi'atul-adawiyyah. Rabi'atul-Adawiyyah menghabiskan masa malam itu dengan sembahyang. Apabila sampai pagi, beliau berkata, "Pujian bagi Allah yang telah memberkati kita dapat sembahyang sepanjang malam. Untuk tanda kesyukuran, marilah kita puasa pula sepanjang hari ini."

Rabi'atul-Adawiyyah selalu berdoa demikian, "Tuhanku! Apa sahaja yang Engkau hendak kurnia kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa sahaja kebaikan yang Engkau hendak kurnia kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang berIman, kerana aku hanya hendakkan Engkau kerana Engkau. Biarlah aku tidak dapat Syurga atau Neraka. Aku hendak pandangan Engkau padaku sahaja."

Sufyan Al -Thauri menghabiskan masa sepanjang malam bercakap-cakap tentang ibadat kepada Allah dengan Rabi'atul-Adawiyyah. Di pagi hari Al-Thauri berkata, "Kita telah menghabiskan masa malam tadi dengan sebaik-baiknya." Rabi'atul-Adawiyyah berkata, "Tidak, kita habiskan masa dengan sia-sia kerana sepanjang percakapan itu kamu berkata perkara-perkara yang memuaskan hatiku sahaja dan aku pula memikirkan perkara yang kamu sukai pula. Masa itu kita buang tanpa mengenang Allah. Adalah lebih baik jika aku duduk seorang diri dan menghabiskan masa malam itu dengan mengenang Allah."

Rabi'atul-Adawiyyah berkata;

"Doaku padaMu ialah sepanjang hayatku berilah aku dapat mengingatMu dan apabila mati kelak berilah aku dapat memandangMu."

14 Ogos, 2009

Nafas Baru HIKMAH AL-ISYRAQI

Apakah tanah air kita ketandusan warisan pemikiran yang mampu mencemerlangkan keilmuan semasa? Inilah persoalan yang ditanggap oleh penulis karya ini dengan menampilkan warisan pemikiran yang diterima secara turun-temurun yang diwarisi dari al-Haramain, Makkah dan al-Madinah al-Munawwarah, yang merupakan pusat pertemuan umat Islam sedunia dalam ibadah umrah dan haji. Warisan tersebut berasaskan satu aliran atau mazhab pemikiran yang dikenali sebagai hikmah al-isyraqi yang dapat diterjemahkan sebagai ‘kebijaksanaan pencerahan. Aliran ini sebenarnya memiliki sistem yang menarik yang merangkumi aspek teori dan amal yang bersumberkan unsur dalaman. Dibina secara hierarki menegak. Ia tampil pada peringkat tertinggi menerusi ‘kebijaksanaan utama’ (hikmah ‘ula), dipertengahannya pula dikenali ‘kebijaksanaan pertengahan’ (hikmah wusta) yang sebahagiannya terisi dengan aspek kematematikan dan kegeometrian manakala di bawahnya dikenali ‘kebijaksanaan rendah’ (hikmah asfal).

Karya ini diperkukuhkan melalui ikatan rantaian keilmuan atau sanad yang jelas dapat menghubungkan tradisi keilmuan generasi pemikir-pemikir yang terdahulu dengan generasi kemudian termasuk generasi kini. Ini bermakna karya ini dapat mewakili sebahagian besar tradisi pemikiran Islam di sepanjang sejarah keberadaannya. Melihat pada keupayaannya ini, penulisnya telah berusaha menilai falsafah, sains dan teknologi berasaskan paradigma hikmah al-isyraqi. Karya ini juga memaparkan pengetahuan dan maklumat yang julung-julung kali diterbitkan. Justeru. pembaca wajar menatapinya untuk mengenali warisan kita dan untuk memanfaatkan dalam kehidupan seharian.

bahagian khatimah buku ini…

Khatimah
Penyelidikan ini berdasarkan teks berjudul al-Jawahir al-Muntazhimat yang di susun oleh tokoh yang sangat berpengetahuan, Ahmad al-Sajā‘i. Karya ini mengandungi perbahasan bicara yang sepuluh (maqulat ‘asyara). Dari segi sejarah perkembangannya, perbahasan maqulat telah dimulakan oleh Aristotle, diikuti dengan penyelidikan oleh Porphyry, al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Kant, Trendelenberg, Bonitz, Maier, Apelt, al-Balidi, al-Saja‘i, al-Attar, Muhammad Hasanain Makhluf, Yusuf Ali Yusuf, Sulaiman Abdul Fattah, Wan Ali al-Saulati seterusnya ke masa penulis. Ini menunjukkan maqulat tidak wajar sama sekali diketepikan sumbangannya kepada tamadun ilmu antarabangsa. Penulis menerima teks dengan ijazah daripada Tuan Guru Hj. Abdullah yang menerima daripada Syaikh Pak Da Eil yang mengkajinya dengan penuh minat dan teliti. Sepuluh Bicara atau pada sebutan penulis dinamakan Sistem Maqulat yang mana ia menurut pendapat segolongan ilmuwan adalah berunsurkan metafizik atau berisikan lojik menurut satu pendapat yang lain dan ada juga pendapat yang menjelaskan bahawa ia adalah pengantar bagi bidang-bidang ilmu pengetahuan, ialah teks penting yang dikuliahkan oleh ulama di al-Haramain. Di Makkah, ia telah diselidiki, antaranya, oleh Syaikh Ahmad Zaini Dahlan, Syaikh Bakri Syata, Syaikh Muhammad Ali al-Maliki, Syaikh Pak Da Eil, Syaikh Yasin al-Fadani al-Makki. Pendapat yang terakhir, sebagai pengantar, telah disampaikan dalam kuliah khas atas sebab-sebab tertentu oleh Syaikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fatani al-Makki yang lebih dikenali di kalangan masyarakat Melayu di Makkah dengan gelaran Pak Da Eil kepada Tuan Guru Hj. Abdullah (Lubok Tapah).

Sebagai pengantar, sudah tentu menyentuh pelbagai bidang ilmu pengetahuan lain. Ini dapat dilihat dalam komentar yang disebut sebagai al-hasyiah. Dilihat pada komentar tersebut jelas melibatkan rujukan-rujukan yang lebih cenderung kepada karya-karya penting dalam perkembangan mazhab al-Isyraqi. Ini memudahkan penulis mencari asal-usul atau paradigma asas bagi pembentukan teks al-Jawahir ini. Sebagai pengukuhan, Tuan Guru Hj. Abdullah telah menjelaskan kepada penulis bahawa ia adalah sebahagian daripada siri teks Hikmah al-Isyraqi. Penulis bersyukur kerana telah dimudahkan untuk menjejaki hubungan keilmuan dari satu generasi kepada generasi berikutnya berdasarkan pewarisan sanad-sanad ilmu yang dimiliki oleh Syaikhul Islam Muhammad Zahid al-Kauthari, Syaikh Muhammad Salih Idris al-Kalantani al-Makki dan Syaikh Musnid Dunia Muhammad Yasin al-Fadani (atau Padang, Indonesia) al-Makki.

Penulis berkeyakinan bahawa teks ini berhubungan dengan segala bidang ilmu yang cuba dihampiri menerusi pengkajian maqulat. Dengan pemikiran-pemikiran kehikmahan yang tidak tersusun secara rapi yang terdapat dalam kitab-kitab yang diajar di al-Haramain itu dapat juga dikenalpasti bahawa pewarisan ilmu adalah dipupuk oleh satu mazhab falsafah yang dikenali dengan mazhab Isyraqi atau Hikmah al-Isyraqi. Mazhab ini telah berada lama di persada ilmu di dunia Islam tetapi amat jarang ada penulis yang mencuba untuk menerangkan dengan teliti tentang kewujudannya di medan keilmuan al-Haramain. Dalam buku ini, penulis telah cuba mengaitkan beberapa bidang seperti sumber ilmu, skop penyelidikan dengan tema-tema asas dan sistem maqulat serta tokoh-tokoh yang bertanggungjawab menyumbangkan idea-idea dalam satu jalinan ke arah pembentukan paradigma yang jelas.

Lebih menarik lagi, bentuk pemikiran sebegini dikuliahkan di Makkah, iaitu sebuah tempat yang menjadi tumpuan umat Islam serata dunia; haji dan umrah dikerjakan di sini. Tidak kurang ilmuwan-ilmuwan tersohor berada di sini. Dalam sepanjang sejarah selama empat belas hijrah pertama, ada insan-insan yang bersedia menjadi khadam ilmu tidak pulang selepas mengerjakan haji dan umrah untuk mempelajari ilmu-ilmu di situ. Telah menjadi fakta sama ada dalam tulisan penulis muslim dan non-muslim bahawa pencinta-pencinta ilmu pergi ke al-Haramain untuk mencapai tujuan tersebut termasuk yang datang dari Nusantara. Oleh itu, patut benar penulis berkeyakinan bahawa Hikmah al-Isyrāqi memang berada di persada dunia ilmu secara kukuh di Nusantara. Sehubungan dengan ini, tokoh yang mengajarkan Tuan Guru Hj. Abdullah bin al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdurrahman bahawa Hikmah al-Isyraqi diterima dalam pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah Syaikh Pak Da Eil.

Namun, setelah pengajian secara berkitab yang diterima secara lisan dipinggirkan dalam arus perdana pendidikan maka Hikmah al-Isyraqi semakin pudar untuk difahami serta dihayati. Peminggiran ini berlaku mungkin kerana tekanan kehendak jiwa yang tidak murni atau cuba memenuhi tuntutan kebendaan atau terpesona dengan cara barat tanpa menyaringkannya dengan berhati-hati. Hidangan materialisme yang menjadi teras budaya hidup moden menghancurkan sikap pencahayaan dalam diri sebahagian umat Islam khasnya dan umat manusia amnya. Dapat disaksikan dalam sejarah yang lalu sikap materialisme menggugat serta disebarkan oleh pihak penjajah dengan perencanaan yang terancang. Yang menjadi pokok masalahnya, umat Islam tidak mampu menyaringkan serangan-serangan pemikiran tersebut sehingga terpedaya olehnya. Jati diri hampir pudar. Khilafah Uthmaniyyah turut menjadi mangsa akibat falsafah materialisme. Berikut, semakin merebak siri-siri reformasi diadakan dalam segenap urusan umat Islam atas alasan untuk meningkatkan potensi umat. Pada hemat penulis, di sinilah letak punca kegagalan demi kegagalan bagi umat Islam mengekalkan jati diri sehingga Hikmah al-Isyraqi tidak didengari dan tidak dikenali malah ada yang sanggup membid‘ahkannya. Berlainan dengan materialisme, Hikmah al-Isyraqi mengajak umat manusia bernaung di bawah payung kebijaksanaan akal budi yang berlandaskan wahyu yang mengambil berat tentang kepuasan rohani dan jasmani dengan martabatnya masing-masing; tidak mendatar tetapi menegak. Hikmah al-Isyraqi telah berjaya diselami oleh majoriti ulama-ilmuwan yang berautoriti pada setiap masa dan di setiap tempat. Hujjatul Islam al-Ghazali selaku tempat rujukan penting telah menzahirkan dalam bentuk tulisan beberapa prinsip Hikmah al-Isyrāqi dan dikembangkan oleh al-Imam Fakhruddin al-Razi. Seterusnya, diperkenalkan istilah al-isyraqi atau pencahayaan (illuminative) pada sebuah karya yang berjudul Hikmah al-Isyraqi oleh al-Suhrawardi. Teks ini dikatakan menjadi tumpuan sekaligus sebagai buku penting untuk memulakan sikap yang baru terhadap hierarki ilmu dan falsafah. Atas dasar ilmu, Qutbuddin al-Syirazi yang merupakan seorang hakim-saintis telah mengenalpasti keberadaan suatu sistem falsafah yang bersifat hikmah telah dan sedang berada di persada dunia ilmu umat Islam menerusi karyanya berjudul Syarh Hikmah al-Isyraq. Tokoh penghurai ini terdapat dalam senarai sanad ilmu di al-Haramain sebagaimana telah dipaparkan. Keistimewaan aliran falsafah ini, telah menarik minat seorang tokoh penting abad 9 Hijrah/15 Masehi yang dikenali dengan Jalaluddin al-Dawwani juga tidak mahu melepaskan peluang untuk berhikmah dalam paradigma Isyrāqi lalu dianalisa secara teliti beberapa karya yang berkaitan dengannya sebagaimana telah disebutkan dalam tajuk yang berkaitan dalam buku ini. Sebenarnya pada peringkat Jalaluddin al-Dawwani paradigma Hikmah al-Isyraqi telah padu dan mantap. Dalam tradisi al-Haramain, beberapa teks penting dalam sistem ini dipelajari dengan baik oleh Abu al-Irfan al-Muhaqqiq Ibrahim al-Kurani al-Madani seterusnya diajar kepada pelajar-pelajarnya yang berkelayakan. Dalam era yang berhampiran dengan al-Kurani muncul Syaikhul Azhar Hasan al-Attar yang mencuba membina kecemerlangan ilmiah berdasarkan sistem Isyrāqi sebagaimana telah disebutkan. Sikap penelitian sebegini diikuti oleh Syaikh Muhammad bin Hasanain al-Maliki al-Azhari al-Syarqawi sebagaimana terlihat pada karyanya yang berupa huraian kepada al-Jawahir al-Muntazhimat. Sumbangan Al-Attar dan tokoh-tokoh yang menauladaninya diterima oleh ulama-ilmuwan hingga sampai ke medan ilmu di al-Haramain. Sebagaimana telah dibuktikan lalu terdapat guru-guru pondok yang menggunakan teks huraian beliau terhadap al-Jawahir al-Muntazhimat, kitab nahwu, kitab lojik, kitab usul fekah dan seumpamanya. Dalam pada itu juga, pengajian pondok juga telah terbukti peranannya dalam pengislaman manusia di rantau ini. Memanglah diakui bahawa kitab karya al-Farabi, Ibnu Sina, al-Suhrawardi, Qutbuddin al-Syirazi dan seumpamanya tidak dijadikan teks utama kuliah. Namun, yang paling penting pemikiran-pemikiran tersebut dipelihara dan diajar mengikut kesesuaian semasa. Pada tahap ini, para ulama secara bijaksana dan kreatif menggabungkannya dengan aqidah, fekah dan tasawwuf. Jalinan ini adalah penuh indah, yang memancarkan realiti dan hakikat. Dalam pengamatan yang berhati-hati dan teliti, sebenarnya tidak wujud tasawwuf-falsafah tetapi yang sepatutnya disebut sebagai al-hikmah atau tasawwuf-hikmah. Istilah tasawwuf-falsafah sebenarnya diluahkan oleh mereka yang cetek daya nur ilmunya, yang hanya mampu menilai secara harfiyyah atau literalnya sahaja bukan dari segi maknanya.

Dalam buku ini, penulis menumpukan kepada beberapa isu serta cuba menyelesaikan dalam ‘satu nafas’, mungkin mengundang kekeliruan jika tidak dibaca secara teliti. Antaranya, isu keberadaan Hikmah al-Isyraqi di Nusantara perlu disimpulkan di sini. Pada hemat penulis, keberadaan Hikmah al-Isyraqi di Nusantara tidak dikenali di rantau ini kerana penyelidik-penyelidik dalam penulisan-penulisan mereka tidak melakukan kajian dengan teliti atau kurang peka. Sumber atau kajian mereka tidak berkesinambungan dari abad ke abad. Sepanjang penelitian penulis terhadap buku-buku di pasaran didapati mereka lemah dari segi bahan rujukan yang sebenarnya dan yang sepatutnya. Hasilnya, boleh dikatakan mereka membina natijah di atas hujahan yang lemah. Buktinya, mereka tidak membaca karya-karya yang ditulis para guru ulama Nusantara silam itu sendiri, tetapi sekadar mengkaji pemikiran seseorang penulis itupun bergantung kepada teks yang ada sahaja. Jadi, untuk merumuskan keseluruhan pemikiran seseorang dengan cara begini amat tidak wajar sekali. Ini kerana sesebuah karya yang ditulis oleh ulama tidak semestinya mencerminkan itulah sahaja ilmu yang dipelajarinya buktinya boleh disaksikan pada masa kini di mana ilmu-ilmu yang dipelajari di universiti tidak semua diajar kepada orang ramai. Begitulah juga keadaan ulama dahulu, mereka hanya menyampaikan apa yang dapat difahami oleh penerima. Jadi, tidak perlu timbul persoalan bahawa tuan-tuan guru itu tidak belajar falsafah atau tiada pengajian falsafah di al-Haramain. Berdasarkan realiti keilmuan ini, penulis meninjau serta mengkaji kecenderungan-kecenderungan keilmuan di Asia Tenggara, serta al-Haramain dengan merujuk kepada karya tulis tokoh yang berautoriti dan berwibawa di al-Haramain itu sendiri sebagai tempat puncanya maka didapati dengan jelas bahawa pendapat Dr. Idris Zakaria atau golongan seumpamanya amat tidak berhati-hati. Oleh itu, ia tidak layak dijadikan kenyataan yang sah bagi mewakili dunia ilmu Nusantara bagi abad-abad lalu. Andainya dibiarkan sikap dan kajian sebegini maka akan mengundang banyak masalah dan krisis intelektual di kalangan masyarakat Islam khasnya dan masyarakat manusia umumnya.

Sejak munculnya gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab di Hijaz, umat Islam menerima satu lagi kejutan ilmiah. Gerakan ini berkrisis dengan para ulama al-Haramain pada ketika itu. Golongan ini digelar wahhabiyyah atau salafiyyah wahhabiyyah. Seterusnya, apabila mereka berjaya menduduki al-Haramain, sebagaimana yang dialami oleh Hafiz Wahbah, ilmu-ilmu Islam telah disempitkan tetapi nasib baik diabaikan oleh pimpinan politik yang berpendapat bahawa pendapat ulama golongan ini tidak berdasarkan hujah yang mantap. Ramai penyelidik Islam tidak menyedari dan menulis fakta ini dalam tulisan ilmiah mereka. Sepatutnya fakta ini dijadikan hujah pertama yang menghalang berlakunya perkembangan pengajian falsafah di bumi al-Haramain. Tambahan pula, mereka adalah ulama yang menaungi institusi agama di Arab Saudi, dan ini berlaku hingga kini dengan beberapa pendekatan yang agak berbeza dalam beberapa aspek sama ada dari segi ketegasan dalam sesuatu isu dan kelembutan dalam isu yang lain. Golongan ulama ini membid‘ahkan pengajian falsafah serta ilmu kalam. Kesan daripada fatwa ini tidak dapat tidak mampu mewujudkan golongan yang tidak mengerti dan tidak mahu mempelajari falsafah. Akhirnya, umat Islam mundur. Inilah realiti sebenarnya. Golongan ini tidak berusaha sedaya-upaya untuk pengislaman ilmu. Antara tokoh yang terperangkap dengan hujahan golongan ini ialah Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah, yang banyak menulis berasaskan paradigma salafiyyah wahhabiyyah. Penulisan sebegini meningkatkan lagi pengaruh pendapat ulama salafiyyah wahhabiyyah sehingga ramai orang yang mempunyai otak bijak tidak berani mempelajari ilmu falsafah dan akhirnya, mewujudkan golongan ilmuwan Islam yang dangkal pengetahuannya. Gerakan ini lebih cenderung kepada Islam harfiyyah bukan maknawiyyah sedangkan Islam perlu dihayati dari aspek harfiyyah hingga aspek maknawiyyah. Akhirnya, untuk jadikan Islam sebagai cara hidup akan terabai kerana tiada kesepaduan antara ilmu dan tindakan. Inilah sebenarnya krisis yang sedang melanda umat Islam. Di harap golongan ini sedar.

Penulis juga menjadikan Sultan Muhammad al-Fatih yang dijuluki sebagai pemimpin yang mendapat petunjuk kerana diisyaratkan oleh sabda Rasulullah r sebagai tokoh model. Sultan ini menyarankan kajian kefalsafahan dan tasauf, sains dan teknologi yang berasaskan Islam malah menyuburkannya. Jadi, sikap salafiyyah wahhabiyyah amat tidak relevan dengan semangat kesejagatan Islam.

Isu selanjutnya yang penulis cuba memberikan ‘jalan baru’ adalah dengan warisan itu sendiri boleh memandu untuk menghadapi arus pemikiran semasa. Dalam hal ini, penulis menggunakan paradigma Hikmah al-Isyraqi, dan sebagai pengujiannya, penulis cuba memberi respons kepada falsafah sains terutama dari segi fizik teori kini. Fizik sebagaimana dikatakan oleh sebahagian tokoh-tokoh sains adalah asas ilmu sains. Dan yang tersurat dalam banyak tulisan menyatakan umat Islam lemah dalam sains dan teknologi. Bagaimanakah ini terjadi dan apakah penyelesaiannya ?? Adakah wajar kita mengadili Hikmah al-Isyrāqi dengan falsafah kebendaan ?? Adakah semata-mata mengira dan bereksperimen itu dapat memperbaiki kualiti hidup muslim dan non-muslim tanpa etika, penghormatan terhadap hierarki ilmu dan seumpamanya. Untuk isu ini, penulis akan merumuskan dalam satu nafas juga. Beberapa abad lalu, kejayaan sains dan teknologi berjaya membentuk sekularisme hingga manusia memisahkan antara agama dan dunia akibat keangkuhan kenyataan tokoh-tokohnya seakan-akan Tuhan tidak berperanan dan segala-galanya ditanggap sebagai mekanik malah ada yang beranggapan Tuhan sedang berehat dan tidak masuk campur dalam urusan hukum-hukum alam setelah disediakan hukum untuknya. Dalam sains moden, didapati bahawa pengaruh falsafah sains Newton tidak dapat digugat sehingga muncul Albert Einstein yang tidak bertaklid kepada Newton tentang kemutlakan ruang dan masa. Pembebasan belenggu falsafah Newton telah berjaya membentuk teori kerelatifan dan penemuan teori ini banyak ditemui pula teori-teori baru. Falsafah Newton tentang kedua-duanya boleh dikatakan ‘helah akal’ menurut Hujjatul Islam yang tidak mampu ditepiskannya. Seterusnya, muncul pula mekanik kuantum yang lagi mencabar minda manusia. Penemuan antimatter contohnya, semakin membuka mata banyak pihak. Ini membuatkan mereka turut serta dalam perbincangan antara agama dan sains tidak setakat bermatematik dan bereksperimen. Dan, ini semakin wajar dilakukan. Antara tokoh yang melibatkan diri dalam bicara agama dan sains ialah Albert Einstein, Steven Weinberg, Freeman Dyson, Arno Penzias (Nobel Fizik 1978), Charles Townes (Nobel Fizik1964), dan beberapa orang tokoh lagi. Mereka berbicara soal-soal psikologi . . . . yang bersifat abstrak …. Dengan perkembangan ini juga, mana-mana orang yang tidak berpegang kepada ajaran agama atau menafikan alam ghaib atau alam lain atau ateis boleh dikatakan sedang mengalami ‘masalah’ kerana kekeliruan mereka. Ini kerana golongan anti-agama biasanya akan menggunakan hujah sains kononnya untuk menolak agama tetapi lupakah mereka bahawa pemikiran saintifik kini pun sedang mengalami ‘krisis’ dan bukan bersifat mutlak !!!

Keadaan ini memperlihatkan bahawa kita tidak sepatutnya bertaklid buta kepada sains masa sekarang tetapi perlu menjana kuasa pemikiran sains dan teknologi berasaskan jati diri umat Islam itu sendiri. Jadi, suatu sistem ilmu yang mengambil kira semua hierarki perlu dipertahankan, dan itu semua dalam khazanah Islam memang telah tersedia ada cuma perlu menokok-tambah mana yang perlu yang bersesuaian dengan arus semasa dengan saringan yang penuh teliti. Jadi, penulis mengharapkan dengan paradigma Hikmah al-Isyraqi, umat Islam dapat menempatkan diri dalam situasi yang sukar diganggu-gugat serta menerimanya dengan banyak kemanfaatan dan kegunaan. Hikmah al-Isyraqi yang didekati dengan penggabungan martabat hikmah ula, hikmah wusta dan hikmah asfal yang dihubungkan oleh hikmah teoretikal (nazhari) dan hikmah praktikal (‘amali) yang berpaksikan wahyu.

Segala sentuhan ini, berpotensi menyelesaikan ‘kemelut’ serta ‘krisis’ pemikiran saintifik moden serta mampu memperbaiki ‘kemelesetan’ etika. Umat Islam perlu berusaha memahami tamadunnya sendiri serta perlu juga mengetahui kecenderungan-kecenderungan semasa. Islam wajar ditonjolkan kepada seluruh umat manusia. Islam juga tidak memaksa mana-mana individu untuk memeluk Islam. Umat manusia perlu menggunakan akal yang dikurniakan untuk berfikir tentang apakah sebenarnya kebenaran itu. Akhiran yang dicita-citakan oleh Hikmah al-Isyraqi yang dipengaruhi aspek dalaman iaitu sebagaimana firman Allah s.w.t.:

يَأَيَّتُهَا النَّفْسُ الـمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِـى إِلَـى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً.
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan
keadaan reda dan diredai.”
Al-Fajr: 27-28

——-

Terbitan: Kurnia Ilham Shah Alam Selangor
Tahun: 1425H/2004M
Harga: RM 37.00
STOK TERHAD
untuk pesanan, hubungi: mzaid_saf@hotmail.com